Seiring dengan perkembangan industri, semakin banyak air buangan yang mengandungi pelbagai bahan tercemar dilepaskan ke…
Setelah beberapa dekad, dunia akhirnya berada pada fasa pemulihan lapisan ozon. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapisan ozon dijangka pulih semula ke tahap asalnya seperti tahun 1980 menjelang sekitar tahun 2040 di seluruh dunia, sekitar tahun 2045 di kawasan Artik, dan sekitar tahun 2066 di kawasan Antartika.
Pencapaian ini adalah hasil usaha berperingkat dalam mengurangkan serta menghapuskan penggunaan bahan kimia yang berpotensi menipiskan lapisan ozon, khususnya Klorofluorokarbon (CFCs), dengan menggantikannya kepada bahan alternatif seperti Hidroklorofluorokarbon (HCFCs) yang kurang berbahaya. Namun, penggunaan HCFCs masih memberi kesan kerana ia menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan peningkatan suhu global.
Sehubungan itu, beberapa negara telah melaksanakan Pindaan Kigali 2016 kepada Protokol Montreal, yang menetapkan pengurangan berperingkat terhadap pengeluaran HCFCs. Langkah ini dijangka dapat mengelakkan peningkatan suhu global sehingga 0.5°C menjelang tahun 2100.
Walaupun usaha pemulihan ini dijalankan di peringkat global, kita juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha dalam mengurangkan penipisan lapisan ozon. Setiap tindakan kecil yang kita lakukan mampu memberi kesan besar terhadap pemuliharaan alam sekitar. Berikut merupakan beberapa langkah mitigasi yang boleh kita amalkan bersama:
- Elakkan penggunaan produk aerosol, peti sejuk, atau penghawa dingin lama yang masih mengandungi bahan CFC dan HCFC.
- Pilih sistem penyejukan mesra ozon yang menggunakan bahan seperti HFC, ammonia, atau CO₂.
- Kitar semula atau lupuskan peralatan lama yang mengandungi gas berbahaya di pusat pelupusan khas.
- Upah juruteknik penghawa dingin profesional yang terlatih untuk mengendalikan serta mengurangkan penggunaan gas penyejuk (refrigerant) secara efisien bagi memelihara alam sekitar.
- Gunakan pengangkutan awam atau kenderaan elektrik bagi mengurangkan pelepasan gas berbahaya ke atmosfera.
Kejayaan pemulihan lapisan ozon membuktikan bahawa kerjasama global, dasar yang tegas, serta inovasi teknologi mampu membawa perubahan positif kepada alam sekitar. Namun begitu, usaha ini perlu diteruskan secara konsisten kerana pemulihan ozon bukan sahaja melindungi bumi daripada sinaran berbahaya, tetapi juga menyokong keseimbangan iklim dan kesejahteraan generasi masa depan.